Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Bengkel menekankan perlindungan persekitaran pantai, marin

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

2_Bengkel menekankan perlindungan persekitaran pantai, marin.jpeg

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar hadir selaku tetamu kehormat.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Mei. – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dengan kerjasama DHI Water & Environment (B) Sdn Bhd telah menganjurkan Bengkel Sustainable Planning for Coastal and Marine Development in Brunei Darussalam pada 6 Mei 2025 di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.

Acara didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa oleh Awang Hifzhudin bin Lamudin diikuti dengan ucapan dari tetamu kehormat.

Dalam ucapannya, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) menekankan kepentingan untuk menitikberatkan perlindungan persekitaran pantai dan marin semasa negara terus membangun, selaras dengan salah satu petunjuk utama Wawasan Brunei 2035 iaitu memastikan persekitaran yang mampan. Tambah beliau, adalah penting bagi pihak pemaju untuk memahami sepenuhnya mengenai keperluan yang digariskan di bawah Akta Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar, Penggal 240 bagi mana-mana pembangunan yang memberikan kesan alam sekitar yang signifikan, termasuk aktiviti pembangunan pantai dan marin.

1_Bengkel menekankan perlindungan persekitaran pantai, marin.jpeg

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan memberikan ucapan alu-aluan.

Beliau turut mengenalpasti peranan penting yang dimainkan oleh agensi-agensi yang relevan termasuk Jabatan Perikanan, Jabatan Saliran dan Pembetungan dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam dalam mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan perihal pembangunan di persekitaran pantai dan marin. Beliau seterusnya menekankan tanggungjawab dan peluang yang besar yang dipegang oleh pelaksana projek, kontraktor, serta pengusaha pengorekan dan akuakultur untuk menyumbang kepada perlindungan alam sekitar, dimana tindakan mereka semasa perancangan dan pelaksanaan projek akan mempunyai kesan langsung dan berkekalan terhadap ekosistem pantai dan marin kita yang rapuh.

Sesi Pembukaan diteruskan dengan Pembentangan Utama yang disampaikan oleh Dayang Liaw Lin Ji, Country Manager DHI Water & Environment (Brunei) Sdn Bhd dan Head of Environmental Solutions bagi DHI Brunei and Malaysia, yang antara lainnya mengetengahkan beberapa isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh pembangunan pesisir pantai di Negara Brunei Darussalam pada masa kini serta keperluan mendesak bagi perancangan holistik dan lestari untuk membina ketahanan pesisir pantai terhadap impak perubahan iklim yang mendatang. Perancangan lestari memerlukan pelaksana projek untuk mempertimbangkan prinsip-prinsip yang melindungi baik manusia mahupun alam semula jadi ketika membangunkan sesebuah projek. Pembentangan ini juga menunjukkan bagaimana perancangan lestari adalah penting dalam mencapai Matlamat 2 Wawasan 2035 dan pelbagai matlamat di bawah UNSDGs termasuk Matlamat 11 Bandar dan Komuniti Lestari, Matlamat 13 Tindakan Iklim dan Matlamat 14 Kehidupan di Bawah Air.

4_Bengkel menekankan perlindungan persekitaran pantai, marin.jpeg

ANTARA yang menghadiri bengkel.

Bengkel yang diadakan selama satu hari tersebut telah menghimpunkan pelbagai pakar untuk berkongsi amalan terbaik, cabaran, dan peluang dalam bidang penting perancangan mampan bagi pembangunan pesisir pantai dan marin di Negara Brunei Darussalam. Ia menyediakan wadah bagi para peserta untuk meneroka potensi sumbangan mereka ke arah merangka strategi alam sekitar jangka panjang dan lestari secara menyeluruh. Bengkel terbahagi kepada empat sesi seperti berikut:

• Sesi 1: Introduction to Environmental Protection and Management Act, Chapter 240 yang disampaikan oleh Awang Mohammad Akmal Fikry bin Yusra, Pegawai Alam Sekitar Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi;

• Sesi 2: Development Along the Coast yang disampaikan oleh Tuan Jack Lee Vun Vac, Country Manager bagi DHI Water & Environment (Malaysia) Sdn Bhd;

• Sesi 3: Dredging Projects yang disampaikan oleh Dr. Claus Pedersen, DHI Water & Environment Regional Technical Director in South-east Asia; dan

• Sesi 4: Marine Aquaculture Projects yang disampaikan oleh Dr. Robert Scott Nichols, Project Manager & Senior Environmental Consultant di DHI Water & Environment.

3_Bengkel menekankan perlindungan persekitaran pantai, marin.jpeg

SALAH satu pembentangan semasa bengkel berkenaan.

Bengkel ini memfokuskan kepada perancangan alam sekitar bagi kemajuan-kemajuan di persisiran pantai dan marin yang mampan selaras dengan usaha negara untuk memastikan pembangunan yang berdaya tahan sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar dan memberi tumpuan khusus kepada tiga kemajuan di persisiran pantai dan marin yang relevan dengan Negara Brunei Darussalam, iaitu: (i) pembangunan kawasan persisiran pantai, termasuk perlindungan persisiran; (ii) pengorekan di perairan; dan (iii) akuakultur marin dan pesisiran.

Hampir 60 peserta daripada agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang melaksanakan kemajuan-kemajuan persisiran pantai dan marin telah menghadiri bengkel berkenaan.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments